Sunday, 2 August 2015

Kisah Gelandangan


KISAH GELANDANGAN

                Assalamualaikum.. kali ini saya ingin berkongsi kisah berkenaan gelandangan. Semua daripada kita pasti sudah arif berkaitan gelandangan bukan. Dimana-mana kaki kita menjejak, pasti disitu akan ada gelandangan dan setiap kali itulah, kita pasti akan cuba untuk menjauhkan diri kita daripada mereka. Seolah-olah gelandangan begitu jijik bagi kita. Keadaan sebegini telah menyentuh hati saya bagi menceritakan berkaitan seorang gelandangan yang kami temui ketika dalam perjalanan pulang daripada kursus kami baru-baru ini.

                Kisah ini diselami dari hati seorang gelandangan itu sendiri. Izinkan saya untuk berkongsi maksud istilah gelandangan ini. Istilah ‘gelandangan’ atau ‘homeless’ dahulunya dikenali sebagai Vagrants. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ada mentakrifkan istilah gelandangan merupakan seseorang yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap mahupun pekerjaan. Gelandangan ini juga lebih mudah difahami sebagai mereka yang bukan sahaja tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap, malahan mereka juga telah hilang kefungsian dalam keluarga ataupun lebih tepat ‘masyarakat’ .

                Kisah ini dimulakan apabila kami sekumpulan sedang asyik berbual dengan seronok sehingga terlepas pandang bahawa suara kami telah memecahkan keheningan malam tersebut sehingga mengganggu seorang warga emas yang duduk berhampiran dengan kami yang lebih tepat digelar seorang ‘gelandangan’. Dengan perlahan,  pakcik yang berlainan kaum dan agama tersebut menghala kearah kami dan menegur dengan baik bahawa tidak elok jika kita terlalu seronok sehingga mengganggu orang lain. Kami menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka.

                Kisah ini dimulakan apabila salah seorang daripada kami mula bertanya berkaitan kisah hidup seorang gelandangan yang sudah berumur lebih daripada separuh abad itu. Katanya sudah lebih daripada 4 bulan pakcik tersebut duduk ditempat itu. Hal ini bermula apabila dia menceritakan bahawa dia mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak. Dia dahulunya bekerja sebagai seorang pemandu lori. Kesilapannya hanyalah apabila dia telah menukarkan nama rumah kepada nama isterinya. Berkat daripada pendapatan sebagai seorang pemandu bas, pakcik tersebut membayar duit rumah dan menanggung keluarganya.

                Selepas penukaran nama rumah dibuat, hal ini kemudian menyebabkan si isteri telah mula  berpaling hati. Isterinya kemudian telah bernikah dengan seorang lelaki yang telah mempunyai isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Lantaran itu, pakcik tersebut telah mula membawa diri dari rumah. Anak-anak mereka mula berpecah dan membawa haluan masing-masing caerita gelandangan tersebut sambil menahan airmatanya daripada menitis. Setelah itu, kami mula bertanyakan berkenaan makanan pakcik itu sehari kemudian pakcik tersebut menjawab bahawa makanannya tidak tentu. Sekiranya ada yang memberi rezeki pada hari tersebut, dapatlah beliau membeli makanan. Sekiranya tidak, maka berlaparlah beliau kehari yang seterusnya. Tatkala itu, airmatanya mula kelihatan menitis. Hati kami sayu apabila melihat seraut warga emas dihadapan kami mengenang nasibnya yang telah hilang tempat berteduh.

                Kami ada bertanyakan berkaitan pekerjaan yang pernah dilalukan dan tidakkah dia mahu menyambungnya semula. Kemudian pakcik tersebut menjawab dia telah kehilangan pekerjaan tersebut sejurus dia meninggalkan perkerjan itu dahulu katanya sambil mengesat bekas airmatanya. Ternyata tubuh tua itu telah menempuh hidup yang sangat perit selama 4 bulan yang kadangkala makan, kadangkala tidak. Betul. Duit bukan segalanya. Tetapi segalanya memerlukan duit.

                Perbualan kami terhenti apabila bas kami sudah mula sampai dan kami bergerak menuju ke bas tersebut. Salah seorang daripada kami menghulurkan makanan kepada pakcik tersebut sambil menguntumkan senyuman dan kami mula beredar. Terngiang-ngiang diingatan saya tatkala pakcik tersebut menyatakan bahawa selama beliau disitu, hanya awal-awal sahaja anaknya datang menjenguk dan kemudian hilang entah kemana dan salah seorang anaknya telah dimasukkan kesekolah budak nakal kerana kesalahan mencuri. Kita sebagai anak sanggupkah kita membiarkan ayah kita hidup sebatang kara walhal sewaktu kita kecil, tangan itulah yang telah bekerja keras berusaha mencari sesuap rezeki bagi menyara kita sekeluarga. Hidup ini ibarat roda. Kadangkala kita diatas, kadang kala dibawah. Kita juga sebagai masyarakat haruslah bersama-sama mengambil berat antara satu sama lain. Sumbangan yang tidak seberapa bagi kita itulah mungkin sangat berarti bagi mereka. Setiap agama juga mengajarkan perkara yang baik. Jadi tidak salah bagi kita membantu meringankan beban orang lain walaupun berlainan agama kerana sesungguhnya walaupun bantuan sebesar zarah itulah mungkin yang dapat menyelamatkan kita dihari perhitungan kita nanti.
Semoga perkongsian saya yang tidak seberapa pada kali ini dapat membuka mata kita semua seterusnya dapat memberikan walaupun sedikit ilmu kepada pembaca sekalian.

Sekian, Wassalam…